Sunday, January 4, 2009

Catatan Dari Rumah Geruna V

Kadang-kadang itu tanah disalah ertikan
apabila ia hanyalah ketapang kosong
tinggi menjulang ke langit dan dalam kelam malam
berdiri dengan tersipu pada liang-liang gersang.

Tanah itu akan sentiasa terbuang
dan dalam ketandusan ia masih keinginan
untuk bercerita perihal daun-daun
yang pernah satu ketika kemarau panjang
berjuta-juta keguguran ke tanah dan reput
membangunkan kembali kehidupan rimbanya.

Kadang-kadang itu kehidupan disalah tafsirkan
pada daun-daun yang pulang ke tanah
membangunkan kembali putaran dan liku-liku
perjalanan panjang ke ruang belantara
mengisi tamadun manusia.

Kadang-kadang itu pada ketika kita kesunyian
kita mudah dilupakan oleh ganjaran waktu
kerana pada tanah ini dan pohon-pohon rimba
tamadun baru bisa dijulang ke ruang angkasa
dan peluang-peluang memperkasakan
keikhlasan pada tanah-tanah
yang disalah ertikan.

Kadang-kadang itu kita terlupa membangunkan rimba
apabila keikhlasan disalah ertikan.

Mukah
21.2.07

3 comments:

Penabahari said...

Benar sdr. Kadang-kadang rimba pun ingin terlena seketika dari hiruk pikuk manusia yang durjana.
Puisi sdr suatu keindahan.

Gold Arawana said...

Manusia jarang menghargai sesuatu yg di depan mata, ketika kehilangan kita tercari2 dan tersedar yg harganya tdk ternilai. Malangnya kesedaran dan keinsafan biasanya sudah terlambat.

Hipani Alwi said...

Cerita Geruna adalah cerita benar yang mungkin suatu hari kita akan sesali.