Wednesday, March 31, 2010

Cerita Dari Sebuah Rumah Panjang

Katanya ada tanah moyang abadikan
luas terbentang melingkar hutan rimba
kita bercucuk tanam seada mungkin
hidup kita senang rimba adalah segala-gala.

Jalur-jalur kemusnahan tiba-tiba mengasyikkan
kita terpesona seketika dengan nyanyian rindu
rezeki datang melimpah rumah panjang kita
wajah bertukar gagah belantara hampir musnah
kehidupan masih jauh dan sengsara menjelma.

Katanya ini tanah kita untuk diperhitungkan
tanah adat moyang dipusaka dengan darah
hak harus dipertahan kerana tamadun meyeksakan
biar hutan kembali merangkul kita
dengan nyanyian rindu mempesona angkasa
dan langit akan turun dengan hujan-hujan
kita kembali bercucuk tanam seada mungkin.

Dan jalur-jalur persengketaan tiba-tiba menghukumkan
katanya tanah moyang bukan hak-hak
tamadun haruslah dibangunkan
kemajuan adalah hak penghuni rumah panjang
hutan yang subur menjadi sebuah ladang
dan menjangkau kaki horizon dan puncak gunung
ombak datang seakan membisikkan
pantaimu akan kuhempas ketika ribut ini
katanya hujan tidak pernah pulang
untuk kembali membasahi rumah panjang kita.

miri
23.8.93

No comments: